Tingkatan Nafsu
Setelah kita membahaskan berkenaan
syarat mengetahui tahap keimanan dalam proses mengenal diri. Pada kali
ini kita akan cuba menghuraikan tingkatan-tingkatan nafsu yang menjadi
syarat kedua untuk mengenal diri.
Allah menjadikan haiwan
mempunyai nafsu tanpa akal. Allah menjadikan para malaikat mempunyai
akal tanpa nafsu. Dan Allah jadikan manusia memiliki akal dan nafsu.
Maka jadilah manusia itu sebaik-baik ciptaan Allah SWT.
Nafsu
merupakan salah satu dari 4 penghalang utama kepada seseorang
muslimuntuk beribadah kepada Allah. Hakikatnya nafsu ini perlu ada dalam
diri kita. Tidak boleh tidak. Kena ada dalam diri manusia. Tetapi nafsu
tersebut hendaklah dididik. Kerana nafsu ini sebenarnya milik haiwan.
Haiwan yang memiliki nafsu. Haiwan yang liar, jika dijinakkan dan
dididik, akan memberi manfaat kepada manusia. Lembu kalau dijinakkan
mampu membantu manusia melakukan kerja di ladang. Begitu juga kuda. Kuda
liar jika dididik dan dijinakkan, mampu dijadikan haiwan tunggangan.
Nafsu juga begitu. Nafsu jika tidak dididik dan dijinakkan maka akan
mendatangkan kerosakan kepada diri manusia. Kerosakan di dunia,
lebih-lebih lagi di akhirat. Maka wajiblah seseorang itu mendidik nafsu
mereka agar terdididik. Dan dalam usaha mendidik nafsu, sewajarnyalah
kita mengetahui akan tingkatan-tingkatan nafsu.
Dalam kitab-kitab yang membicarakan ilmu tasawwuf, ada disebutkan 7 tingkatan nafsu. Iaitu :
1. Ammarah
2. Lawwamah
3. Mulhamah
4. Mutmainnah
5. Radiah
6. Mardiah
7. Kamilah
Tingkatan
yang terendah dan terhina ialah Ammarah. Dan tingkatan yang termulia
ialah Kamilah. Namun pada kali ini, saya hanya ingin membicarakan 4
tingkatan yang pertama demi keselamatan kita dan usaha kita dalam menuju
ke arah keredhaan Allah SWT.
Nafsu Ammarah ialah nafsu yang
paling hina, paling buruk dan paling jahat. Orang yang bersifat dengan
nafsu Ammarah, dia akan merasa bangga apabila melakukan dosa. Dia merasa
kebahagiaan dan kelazatan yang amat sangat apabila berpeluang melakukan
dosa. Bukan setakat itu, orang yang berada di tingkatan nafsu Ammarah,
dia akan mengajak orang lain juga berbuat dosa dan kemungkaran. Mereka
inilah yang menjadi tunggak dan promoter-promoter kepada program maksiat
dan kemungkaran. Dia akan ajak dan tarbiah manusia-manusia yang lain
untuk bersama-sama dirinya melakukan maksiat dan kemungkaran secara
berjemaah. Andainya, ada usaha yang dilakukan untuk mencegah
kemungkaran, mereka-mereka inilah yang menjadi manusia-manusia durjana
yang menghalang kepada program menyeru yang makruf dan mencegah
kemungkaran. Andainya ada orang yang menegur kemungkaran dan maksiat
yang dilakukannya, orang yang menegur itu dimusuhi. Orang yang bernafsu
Ammarah inilah yang sentiasa menjadi batu api, melaga-lagakan orang demi
kepentingan diri mereka. Mereka jugalah agen kepada kesesatan yang
dibawa oleh musuh-musuh Islam. Tak hairanlah kalau mereka boleh dilabel
sebagai hamba nafsu atau pun hamba syaitan. Orang yang bernafsu Ammarah,
tempatnya tidak lain dan tidak bukan ialah di neraka. Muktamad, kalau
dia mati akan ke neraka. Dan dosa-dosa orang yang menyahut seruannya
untuk melakukan maksiat juga, dia akan beroleh saham darinya. Jadi
kepada mereka yang bernafsu Ammarah, bersiap sedialah untuk dibakar di
neraka.
Tingkatan kedua nafsu ialah Lawwamah. Orang yang memiliki
nafsu Lawwamah sedar bahawa diri dia sering terlibat dengan dosa. dan
dia sering mengkritik diri dia apabila terlibat dengan dosa. Mereka
sentiasa melakukan dosa. Waktu melakukan dosa, mereka tak fikir apa-apa
pun. Tak ingat kepada Allah, tak ingat kepada syurga dan neraka. Yang
dia ingat hanyalah nikmat ketika berbuat dosa yang hakikatnya adalah
nikmat yang sementara. Sebaik saja habis melakukan dosa, dia sedar yang
dia telah terlanjur. Dia menyesal dan mengkritik diri dia sendiri di
atas keterlanjurannya. Tetapi setelah masa berlalu, dia buat semula dosa
kemungkaran yang menjadi kegemarannya. Seandainya orang bernafsu
Lawwamah ini berjaya membuat kebaikan, maka senanglah timbul riyak dan
ujub dalam dirinya. Dirasakan dialah yang paling arif dalam bab-bab
perjuangan. Dirasakan dialah yang paling mulia dan suci. Perasan dan
syok sendiri. Inilah antara ciri-ciri yang ada pada orang yang bernafsu
Lawwamah.
Beza antara orang nafsu Ammarah dan Lawwamah, orang di
nafsu Lawwamah tidak merasa bangga apabila melakukan dosa, dia tidak
pula mengajak orang lain turut sama membuat dosa dengannya dan dia tidak
pula menghalang usaha-usaha mencegah kemungkaran. Tetapi dia sering
terjebak dengan dosa, sebab tidak mampu meninggalkan nikmat dunia ketika
membuat dosa. Contohnya, dia sudah merasa kelazatan zina, maka dia
terus melakukan zina walau dia tahu ianya berdosa. Tingkatan nafsu
Lawwamah lebih tinggi sedikit dari nafsu Ammarah, tetapi nafsunya masih
belum terdidik dan rakus. Masih bersarang dengan sifat mazmumah. Cuma
diri orang yang bernafsu Lawwamah ini sudah mudah ditegur dan hatinya
mudah didorong ke arah ibadah dan kebaikan. Nafsunya masih belum dididik
sepenuhnya. Syurga untuk orang di nafsu Lawwamah masih jauh panggang
dari api. Nafsu yang sebegini masih belum dapat menyelamatkan yang
empunya diri dari api neraka.
Tingakatan yang ketiga ialah nafsu
Mulhamah. Orang yang bernafsu Lawwamah, apabila dia sedar bahawa dia
melakukan dosa, hasil dia mengkritik diri dia setelah dia terlanjur
melakukan dosa, dia akan berusaha menghisab diri dan berusaha
memperbaiki diri. Dia mempelajari ilmu Fardhu Ain dan mula
mengamalkannya. Berdasarkan ilmu tasawwuf yang dia pelajari, dia
berusaha menyucikan hatinya. Orang yang bernafsu Mulhamah, dia masih
terlibat dengan dosa. Tetapi dosa yang dilakukannya tidak sebanyak dosa
yang dilakukan oleh orang di tingkatan nafsu Lawwamah. Namun dosa, walau
sekecil mana pun, balasannya di akhirat tetap ke neraka.
Andainya
orang nafsu Lawwamah, terjebak kepada dosa kerana inginkan kelazatan
nikmat kemungkaran yang sementara, orang bernafsu Mulhamah melakukan
dosa kerana tidak sengaja. Bukan dia suka-suka cari. Andainya orang di
tingkatan nafsu Lawwamah setelah melakukan dosa, baru dia sedar akan
kejinya perbuatannya itu. Orang bernafsu Mulhamah sewaktu buat dosa,
sedang dia buat dosa, dia sudah terasa betapa kejinya perlakuan maksiat
yang sedang dia lakukan. Andainya orang bernafsu Lawwamah setelah
melakukan dosa, dia mengkritik diri dia. Orang yang bernafsu Mulhamah
bukan setakat kritik diri dia, malahan dia mencari kaedah untuk tidak
melakukan dosa dan menghindarkan dari jalan-jalan yang mengundang dosa .
Namun orang di tingkatan Mulhamah ini, masih belum sunyi dari melakukan
dosa. Hati dia pedih bila melakukan dosa, walau pun tidak sengaja.
Namun usaha dilakukan untuk tidak mengulangi perlakuan dosa itu lagi.
Tingkatan
yang keempat ialah nafsu Mutmainnah. Orang yang bernafsu Mulhamah,
hasil usahanya mencari jalan keluar dari melakukan dosa yang istiqamah
dan sungguh-sungguh, maka Allah akan tingkatkan nafsunya ke tingkatan
Mutmainnah. Orang yang telah mencapai ke tingkatan ini, hatinya sudah
suci dan tenang. Datanglah 1001 macam ujian musibah melanda, hatinya
tidak tergugat. Dia sabar dan redha dengan segala ketentuan yang datang
dari Allah. Dia sujud dan syukur di atas segala nikmat yang diberikan
oleh Allah kepadanya. Ujian musibah yang melanda dianggap sebagai
kifarah dosa di dunia dan wasilah untuk menghampirkan diri kepada Allah.
Nikmat yang diberikan oleh Allah kepadanya dikongsi bersama dengan
saudara semuslim dengannya agar nikmat itu dapat diedarkan ke seluruh
pelusuk alam. Orang yang bernafsu Mutmainnah inilah yang dikatakan
orang-orang bertaqwa. Orang yang mampu melaksanakan segala titah
perintah Allah dan mampu meninggalkan segala larangan Allah. Mereka
inilah yang dijamin akan selamat dari siksaan neraka Allah di akhirat.
Mereka inilah juga yang bakal menjadikan syurga yang penuh dengan
kemanisan nikmat yang berkekalan sebagai tempat rehatnya nanti di
akhirat.
Timbul persoalan. Bagaimana ingin menigkatkan taraf
nafsu ? Tidak lain dan tidak bukan ialah dengan bermujahadatunnafsi (
bermujahadah melawan nafsu ). Langkah pertama ialah dengan menimba ilmu
Fardhu Ain. Seterusnya beramal dengannya. Dalam beramal inilah berlaku
proses mujahadah melawan nafsu.
Mujahadah melawan nafsu tempatnya
di hati. Maka dalam proses mujahadah ini, terdapat tiga peringkat yang
akan dilalui. Pertama peringkat takhalli (buang). kedua peringkat
tahalli ( isi ). Ketiga peringkat tajalli (merasai). Tamsilan yang boleh
dibuat tentang ketiga-tiga peringkat mujahadah adalah seperti sebuah
bekas yang mengandungi sampah sarap. Sebuah bekas mengandungi sampah
sarap yang menyakitkan mata. Apabila sampah sarap tersebut dibuang dari
bekas dan bekas dibersihkan, itulah tamsilan kepada proses takhalli.
Setelah bekas kosong dan bersih, bekas tersebut diisi pula dengan
buah-buahan atau makanan yang lazat, dihias lagi dengan
kuntuman-kuntuman bunga yang cantik dan mekar. Inilah tamsilan kepada
proses tahalli. Setelah keindahannya terserlah, sesiapa sahaja yang
memandang akan merasakan kindahan bekas yang berisi buah-buahan dan
bunga, inilah tamsilan proses tajalli. Dalam mujahadah melawan nafsu.
Perlawanan berlaku di hati. Di kala nafsu mengajak hati untuk berlaku
riyak dan sombong, maka lawanlah bisikan tersebut. Inilah takhalli. Rasa
sombong dan riyak, digantikan dengan rasa tawadduk dan rendah diri.
Paksa hati untuk tawadduk dan rendah diri. Inilah tahalli. Apabila
manusia lain melihat kita memiliki sifat mahmudah dan mencontohi kita.
Memanfaatjkan sifat yang ada pada kita, itulah tajalli. Maka ini boleh
dikiaskan kepada sifat-sifat yang lain. Semoga kita beroleh panduan
dalam melakukan mujahadah terhadap nafsu kita, agar nafsu kita mampu
dididik dan dijinakkan. Yang akhirnya dapat kita manfaatkan untuk
keagungan dan kemuliaan Islam.
Saudara dan saudari sekalian.
Berdasarkan ciri-ciri manusia dari 4 tingkatan nafsu itu, suluhlah diri
kita. Di tingkatan manakah nafsu kita berada ?